RSS

April 10, 2010

AWAS! Penipuan Di dalam Perniagaan.

Selamat Bertemu Kembali.
Hari demi hari apabila kita membuka helaian akhbar, pasti kita akan terpandang tajuk-tajuk berita yang amat menyakitkan hati. Luahan rasa para pengguna yang terjerat dengan aktiviti penipuan perniagaan semakin rancak sejak akhir-akhir ini. Terpapar di dada-dada akhbar, bagaimana pengguna yang naif ini tertipu beserta plot jahat sesetengah syarikat jualan langsung yang tidak berhati perut tetapi hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Syarikat-syarikat ini pada hakikatnya tidak berdaftar ataupun didaftarkan dengan bentuk perniagaan yang bertentangan dengan aktiviti perniagaan mereka.


Hakikatnya, bukan puluhan mangsa yang terkena, bahkan ratusan dan ribuan pengguna sudah termakan umpan dan janji-janji manis syarikat-syarikat ini. Satu point yang menarik yang mereka janjikan adalah pulangan keuntungan yang tetap dengan kadar yang tinggi setiap bulan! Menarik bukan? Malah tidak setakat membuat para pengguna tidak dapat tidur malam kerana memikirkan yang mereka akan bergelar jutawan dalam masa yang singkat. Syarikat-syarikat ini juga menjanjikan pelbagai faedah serta insentif sampingan yang menarik untuk para ahlinya. Hebat bukan?

Tetapi kita selaku pengguna, mestilah membuat satu pertimbangan yang mendalam, kajian yang terperinci serta mengumpul seberapa banyak maklumat mengenai sesuatu pelaburan yang ditawarkan, sebelum kita menyerahkan sejumlah wang yang besar kepada syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab ini. Para pengguna di Malaysia haruslah bersikap:

1. Rasional - sebagai pengguna, kita harus berfikir secara rasional ketika kita disogok dengan pelbagai maklumat daripada syarikat-syarikat jualan langsung ini. Jangan terburu-buru membuat keputusan walaupun syarikat berkenaan menuntut kita membuat keputusan segera. Namun cuba kita hitung kembali, jika kita tersilap melabur wang simpanan kita, kita akan menyesal seumur hidup!

2. Panjang Akal - jika syarikat-syarikat ini bertujuan untuk menipu, kita sebagai pengguna juga boleh bersikap 'panjang akal'. Cuba cari jalan untuk mencari di mana kelemahan syarikat-syarikat ini. Jika mereka memberi maklumat yang bertentangan dengan akta perdagangan misalnya, kenal pasti itu adalah salah satu niat mereka untuk menipu pengguna. Banyakkan bersoal jawab dengan mereka, supaya mereka merasa sangsi dengan prinsip kita. Oleh itu, jangan cepat mengatakan YA pada semua info yang mereka berikan.

3. Ambillah masa untuk berfikir - kebanyakan pengguna yang terjebak dengan penipuan ini tidak punya masa untuk membuat keputusan. Mereka terdorong dengan janji-janji manis yang ditaburkan oleh syarikat jualan langsung. Mereka hanya nampak semua perkara yang baik dan menguntungkan! Perkara yang tidak munasabah dan tidak masuk akal tidak terpapar di dalam minda pada waktu itu, namun apabila sudah terhantuk baru lah rasa sakitnya. Barulah kita perasan di mana silapnya. Ingat! Nasi sudah menjadi bubur...

4. Bertanya dan berbincang dengan ahli keluarga atau teman-teman - "jangan nak kaya sorang!" Sikap sesetengah daripada kita yang suka menyembunyikan rahsia antara punca berleluasanya perkara sedemikian. Jika kita didatangai oleh mereka yang berkenaan lalu menawarkan pelaburan atau memberi hadiah sebuah kereta umpamanya. jangan bertindak melulu. Ambil telefon bimbit anda dan hubungi keluarga terdekat atau rakan taulan. Berkongsi maklumat dan tanya pendapat mereka. Mungkin pada masa itu kita tidak mampu untuk berfikir secara waras, maklumlah sebuah Toyota Camry terpacak di depan rumah, siapa yang tidak mahu, bukan? Jika anda berikan sedikit masa, anda tidak akan rugi...

5. Siasat latar belakang syarikat - anda boleh lakukannya sekiranya anda pulang ke rumah atau kembali ke tempat kerja. Cari maklumat berkenaan syarikat yang disebutkan di dalam senarai daftar syarikat, alamat, nombor telefon, aktiviti perniagaan, syarikat berpengkalan di mana, dan sebagainya. Tujuannya untuk memberi lebih keyakinan kepada diri anda sebelum membuat sebarang pelaburan.

6. Berdoa - Hal ini tidak dapat lari daripada setiap individu. Kita seharusnya sentiasa berserah diri kepada Allah SWT supaya diberikan petunjuk ke jalan kebenaran. Agar semua tindakan yang kita ambil datangnya daripada ketentuan Allah. Dengan itu, kita akan mudah merasa redha sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas diri kita.  


Ironinya, sudah ribuan makluman yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri, pihak Polis, Persatuan Pengguna, Tribunal Pengguna dan isu ini seringkali dibincangkan di dalam media massa, tetapi masih ada yang terperangkap! Justeru itu di manakah silapnya? Adakah sikap segelintir rakyat Malaysia yang terlalu kreatif untuk cepat kaya? Berpijaklah di bumi yang nyata, bahawa untuk menjadi kaya bukannya mudah! Tiada jalan singkat ke arah itu, jalan yang kita lalui pastinya berliku untuk sampai ke puncak. Tanyalah pada mereka yang sudah bergelar jutawan. Pengorbanan mereka bertahun-tahun lamanya pasti membuahkan hasil yang membanggakan!

0 comments:

Post a Comment

Leave your comment