RSS

April 8, 2010

Ibu Umpama Lilin

                                 Salam Sejahtera.
Lama rasanya kita tidak bersua, mungkin disebabkan kesuntukan masa untuk melakukan semua tugasan harian yang tak pernah langsai di dalam diari seorang wanita yang bergelar IBU. Setiap hari, apabila terbit fajar, kita akan mula merangka semua aktiviti yang hendak dilakukan seawal jam 5 pagi sehinggalah 12 tengah malam nanti. Bagi seorang isteri, ibu dan juga wanita yang memikul semua tanggungjawab di rumah serta di tempat kerja, mereka amatlah sibuk.


Belum cukup dengan bebanan tugas sebagai seorang IBU, kita selalunya terbeban dengan hambatan masa yang tidak pernah cukup walaupun telah diperuntukan selama 24 jam sehari. Rasanya masa itu terlalu mencemburui kita, tak cukup masa untuk sediakan sarapan untuk anak-anak ke sekolah, tak sempat nak mencuci pakaian walaupun dah tersedia mesin basuh, tak ada masa nak mengemas rumah sehingga rumah kelihatan tunggang langgang dan yang paling menyedihkan kita tidak punya masa untuk diri kita sendiri!


Namun begitu, hal ini tidak boleh berlarutan, kita sebagai wanita dan IBU harus 'bijak'. Jangan biarkan diri kita bergerak melawan masa. Kita sebagai wanita dan IBU harus cekap bergerak bersama masa yang berlalu. Bila kita rasakan, yang masa itu terlalu pantas, kita juga mesti lebih pantas berbanding masa tersebut. Mungkin semua akan berkata "mana boleh? Susah...tak mungkin boleh...." tapi semua itu hanyalah alasan yang kita berikan supaya kita menyerah kalah kepada masa sebelum kita memulakan perhitungan ini! Jangan patah semangat!


Jika kita tidak sempat menyediakan sarapan untuk anak-anak kita ke sekolah? Kita tanya kepada diri kita; "jam berapa kita bangun pagi ni?" sekiranya kita bangkit dari jam 5 pagi, InsyaAllah kita pasti sempat menyediakan sarapan untuk anak-anak kesayangan kita. Jika kita memulakan hari kita seawal mungkin, sudah pasti kita dapat melangsaikan semua tugasan kita setiap hari tanpa rasa tertekan. Justeru ada yang mengatakan; "macam mana nak bangun pukul 5? Tidur pun dah pukul 1 pagi!" Di sinilah kesilapan kita sebenarnya. Sebagai seorang wanita dan IBU yang bijak kita harus tidur awal untuk memulakan hari yang mantap!


Maksud tidur awal, bukanlah jam 10 malam dah mula mencari selimut. Jika kita sudah menyiapkan semua tugas harian dengan sempurna, hati dan fikiran kita akan tenang, walaupun kita tidur jam 12 tengah malam, InsyaAllah kita akan terjaga seawal jam 4.30 atau 5 pagi! Anda  tak percaya? Anda boleh mencubanya, ini adalah kerana, kita mendapat tidur yang berkualiti selama 5 jam, fikiran kita tenang, hati kita tidak merasa runsing, badan kita sihat! Jadi kita bukan sahaja mendapat kualiti di dalam tidur, malah setiap kali bangun pagi akan terserlah keceriaan pada wajah kita! Kita sentiasa bertenaga. Anak-anak serta suami turut gembira melihat air muka kita yang ceria dan kita akan melangkah ke tempat kerja dengan penuh keyakinan tanpa rasa gusar yang rumah kita tunggang langgang.


Sebagai wanita yang bergelar IBU, kita seharusnya banyak berkorban. Jangan merasakan pengorbanan kita itu sia-sia sahaja. Untuk mendapatkan segunung intan bukannya mudah. Untuk mendapat keluarga yang harmoni juga bukannya dengan sekelip mata. Untuk melihat anak-anak kita berjaya bukan dengan memetik jari! Tetapi ia merupakan satu proses yang panjang dan konsisten. Bagaimana untuk mendapatkan satu 'manual' bagi membentuk sebuah keluarga yang berjaya? Jawapannya ada pada diri kita sebagai seorang isteri dan IBU.


Suami adalah pengemudi tetapi isteri adalah penasihat yang menentukan hala tuju sesebuah bahtera keluarga. Jarang ada suami yang menentukan 'do and don'ts' dalam keluarganya. Semuanya diserahkan kepasa si isteri untuk mencaturkan masa setiap hari demi keluarga. Sebab itulah IBU ibarat lilin yang membakar diri untuk kebahagiaan dan kecemerlangan keluarga. Menjelang abad ke 21 ini IBU bukan lagi lilin yang hanya menyinari ruang tetapi jadilah lilin aromaterapi yang menerangi sambil menyegarkan seluruh isi rumah...ia lebih bermakna, bukan?

1 comments:

Norazura Mohd Nor said...

mane boleh tidur awal, study satu hal lagi2 kalau ada anak2 kecik yg merengek nk susu mlm2.. esok pula kerja lg satu hal so kena tidur cukup. 5 jam tak cukup rest utk otak berfikir, kalau bangun pukul 4.30 pagi confirm pukul 10.00 pagi menguap kat ofis dan tak boleh perform kerje. so mane boleh bangun pukul 4.30 - kecuali suri rumah mmg boleh apply kaedah tu sb lepas anak2 pergi sekolah, kemas rumah etc byk mase boleh tidur sekejap. sama ada belah pagi atau slps kul 2 petang

Post a Comment

Leave your comment